KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berada di tangga kelapan daripada 25 kementerian bagi tahap pelakuan rasuah, kata Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata, kedudukan itu adalah hasil laporan Public Service Corruption Ranking (PSCR) dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016, yang tidak didedahkan kepada umum sebelum ini.
Justeru, katanya, KBS akan akan memulakan proses rombakan pengurusan serta-merta selepas mendapati sebahagian besar kontrak di kementerian itu dianugerahkan tanpa melalui proses tender terbuka ketika di bawah kerajaan terdahulu.
Kelonggaran proses perolehan dan pembayaran dengan sebahagian besar kontrak dianugerahkan tanpa melalui proses tender terbuka sebelum ini telah membuka ruang kepada aktiviti penyelewengan, katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun bermula 2016, sebanyak 46 peratus daripada RM777.14 juta jumlah perolehan atau RM357.8 juta telah dilaksanakan tanpa melalui proses tender terbuka, sebaliknya melalui kaedah rundingan terus dan tender terhad. – Bernama










