KUALA LUMPUR 1 Ogos – Perbuatan ganas dan kejam tentera Zionis Israel seperti yang disaksikan sendiri oleh rakyat Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd. Afandi Saleh yang ditahan rejim itu ketika menyertai pelayaran kapal Al Awda untuk misi Freedom Flotilla Coalition For Gaza membuktikan rejim tersebut sememangnya biadab.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Profesor Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, ini apabila Mohd. Afandi berusaha untuk menahan tentera Israel supaya berhenti daripada bertindak ganas terhadap anggota-anggota flotila tetapi dengan biadab memberitahu mereka sanggup setiap hari membunuh kanak-kanak di Gaza.
“Episod yang disaksikan sendiri oleh Mohd. Afandi jelas satu bukti bahawa Israel langsung tidak menghormati penduduk Palestin dan tidak rasa bersalah membunuh kanak-kanak apatah lagi orang dewasa.
“Perbuatan biadab yang dilakukan ke atas aktivis yang berada di atas kapal Al Awda turut membuktikan bahawa rejim Israel bukan sahaja tidak menghormati hak rakyat mana-mana negara sekalipun rakyatnya sendiri.
“Ini apabila dua orang rakyat Israel yang menyatakan solidariti bersama penduduk Gaza yang menyertai pelayaran kapal Al Awda,” katanya dalam satu kenyataannya, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai Mohd. Afandi yang selamat kembali ke tanah air malam semalam selepas ditahan oleh tentera rejim Israel yang berjaya menahan kapal Al Awda yang membawa para aktivis antarabangsa untuk memecah sekatan masuk ke Gaza, Palestin melalui laut bagi misi menghantar pelbagai bantuan terutamanya perubatan.
Hafidzi berkata, dunia perlu mengutuk tindakan rejim yang bertindak agresif secara fizikal ke atas kepten kapal dan beberapa anak kapal dan aktivis termasuk Dr. Ang Swee Chai iaitu seorang doktor pakar ortopedik yang turut menyertai pelayaran Al-Awda.
“Namun bagi pihak MyCare bersama rakyat negara ini, kita mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi dengan perkembangan Mohd. Afandi yang dikembalikan kebebasannya oleh pihak Zionis Israel yang telah menahan beliau dan rakan-rakan pelayar di atas kapal al Awda secara tidak sah.
“Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Kementerian Luar dan seluruh jentera pentadbiran Putrajaya atas sokongan mereka terhadap Mohd. Afandi yang menyertai misi kemanusiaan ini,” katanya.
Beliau yakin desakan ke atas rejim Zionis Israel oleh kerajaan termasuk sokongan ahli-ahli Parlimen berjaya memberikan tekanan kepada pihak penceroboh Israel supaya segera mengembalikan kebebasan Mohd. Afandi serta rakan-rakan beliau yang ditahan secara tidak sah.
“Walau bagaimanapun, Israel masih berdegil menahan sebahagian besar aktivis dan anak-anak kapal Al Awda.
“Kami percaya desakan berterusan dari Malaysia dan seluruh dunia akan berjaya mendesak Israel supaya membebaskan mereka dengan segera tanpa bertangguh,” katanya.
Dalam pada itu, MyCare mendesak supaya bekalan ubat yang disumbangkan oleh rakyat negara ini bernilai RM61,000 diserahkan segera kepada penduduk Gaza yang sedang menanti ketibaan kapal Al Awda dan harapan untuk menerima ubat-ubatan yang dibawa itu.
“Penduduk Gaza sangat memerlukan bantuan tersebut apabila seramai 13,000 orang mengalami pelbagai bentuk kecederaan sejak bermulanya demonstrasi bantahan Great Return March bermula sekitar Mei lalu.
“Seramai 4,000 orang mengalami kecederaan teruk akibat menjadi mangsa tembakan askar Israel.
“Sehingga kini 140 penduduk Gaza terbunuh akibat tembakan tepat oleh askar rejim yang menggunakan peluru berkapasiti tinggi yang diharamkan,” katanya.
MyCare turut menyatakan penghargaan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Terengganu atas sokongan tidak berbelah bagi kepada Mohd. Afandi yang merupakan Timbalan Dekan fakulti Undang-undang dan Antarabangsa Unisza untuk melaksanakan misi yang mulia ini. – UTUSAN ONLINE










