SHAH ALAM 2 Ogos – Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis tidak harus mengambil mudah apatah lagi mempersia-siakan hak mereka dalam sistem demokrasi bagi memastikan kepentingan mereka dilindungi.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, hak yang melibatkan pemilihan wakil rakyat harus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya kerana kesilapan memilih hanya akan mengundang pelbagai masalah kepada mereka pada masa depan.
Hari ini katanya, rakyat menjadi saksi bagaimana janji-janji 100 hari yang dibuat oleh Pakatan Harapan tidak dilaksanakan meskipun telah diberikan mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Sebagai contoh, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang nak dilaksanakan oleh kerajaan. Semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini, kira-kira 457,000 syarikat dikenakan cukai.
“Apabila SST dilaksanakan nanti, saya difahamkan hanya kira-kira 80,000 syarikat dikenakan cukai. Siapa yang dapat untung sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Pentas Rakyat di Jalan Haji Said, Jalan Kebun, di sini malam tadi.
Hadir sama sama dalam program itu ialah dan calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam.
Pada masa sama, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut mengajak rakyat supaya berfikir bahawa sistem percukaian SST tidak lagi dilaksanakan kira-kira 150 buah negara di dunia.
Sebaliknya, kebanyakan negara dunia telah melaksanakan sistem GST yang lebih efisien dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Rakyat patut tanya mana janji-janji lain seperti menghapuskan hutang peneroka Felda, mansuhkan hutang PerbadananTabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penurunan harga minyak dan memansuhkan tol.
“Rakyat perlu tolak politik taksub, tetapi tampilkan politik yang penuh kebijksanaan dalam membuat penilaian sewajarnya,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










