JAKARTA – Malaysia masih belum pernah meraih pingat emas dalam sukan equestrian sepanjang penglibatan di Sukan Asia tetapi sejarah baharu bakal tercipta menerusi ekuin berpengalaman negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil.
Qabil bersama kudanya, Rosentolz berjaya memikat juri pertandingan apabila memulakan kempen di temasya edisi ke-18 kali ini dengan cemerlang apabila menghuni kedudukan teratas pada dua pusingan kelayakan dressage individu menerusi catatan 74.881 mata dan 73.499 mata.
Hasil catatan terbaik tersebut, atlet berusia 38 tahun itu akan beraksi pada acara final untuk merebut pingat emas bersama 15 ekuin terbaik Asia di Pusat Ekuestrian Antarabangsa Jakarta hari ini.
“Saya berharap dapat meneruskan aksi cemerlang untuk meraih pingat emas pertama saya di Sukan Asia. Kejayaan itu akan menjadi pencapaian terbaik sukan equestrian negara kerana kami tidak pernah meraih emas di temasya ini,” katanya.
Sebagai rekod, Qabil pernah meraih dua pingat gangsa dalam acara dressage individu di temasya Doha, Qatar 2006 dan Guangzhou, China 2010.
Jakarta, Indonesia 2018 merupakan penampilan pertama Qabil selepas lapan tahun tidak beraksi di temasya tersebut dan dia merupakan antara atlet yang berada di landasan terbaik untuk menyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia meskipun equestrian tidak disandarkan sebarang harapan oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Dalam temasya kali ini, Qabil sanggup berbelanja besar untuk membawa Rosentolz berusia 12 tahun dari Denmark yang merupakan kuda yang digunakan adiknya, Quzandria Ambak untuk meraih dua pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.











