Kalau moyang yang berpergian
kembali melihat bangsanya
barangkali bercucuran air mata
membasah bumi tercinta
memandang pusaka yang hilang
dibiarkan anak cucu dengan rela
biarpun mereka mengerti
semuanya akan menjadi duka
sengsara melukai hari-hari tua
anak dan cucu mereka
yang mudah leka dan lupa
bagaimana sejarah bermula
apa yang ada bukan lagi milik kita
Pusaka yang hilang itu biarpun koyak
tetap mampu membalut kedinginan
dan kita masih berpimpin tangan
memeluk kebahagiaan
semuanya menuntut kebijaksanaanmu
memilih antara dendam dan keikhlasan
cuma jangan biarkan anak-anak
dan cucu-cicit menangisi
sejarah yang kita tinggalkan
menggadaikan kuasa
hanya kerana kita mudah lupa
MOHAMED M.N
Kg. Solok, Tangkak










