2,000 orang asli Gua Musang terima manfaat program Agrobank

2,000 orang asli Gua Musang terima manfaat program Agrobank

PENDUDUK kampung mendapatkan khidmat nasihat daripada kakitangan Agrobank mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 2,000 masyarakat orang asli di pedalaman Gua Musang menerima manfaat menerusi Program Kembara Merdeka @Galas ‘Be Ades Ma Kampung’.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selama tiga hari dari 14 hingga 16 Ogos 2026 itu melibatkan masyarakat orang asli dari Kampung Galang, Kampung Redip, Kampung Tapai, Kampung Ladoi dan Pos Balar, selain kerjasama pelbagai jabatan dan agensi strategik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, jarak dari kawasan bandar tidak seharusnya menjadi penghalang kepada masyarakat untuk memperoleh maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan perbankan yang dapat meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Melalui pendekatan turun padang, kami dapat memahami keperluan masyarakat setempat dan menyediakan sokongan kewangan yang lebih bersesuaian.

“Komitmen Agrobank terhadap keterangkuman kewangan bukan sahaja diterjemahkan melalui peluasan akses kepada perkhidmatan perbankan, malah menerusi sokongan pembiayaan kepada usahawan dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya dalam kenyataan. 

Bagi 2026, Agrobank telah menyalurkan pembiayaan mikro berjumlah RM24.8 juta kepada usahawan di Kelantan bagi membantu mengembangkan perniagaan, menjana pendapatan dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Beliau berkata, penglibatan Agrobank memberi tumpuan kepada usaha memperluas perkhidmatan kewangan formal dalam kalangan masyarakat setempat. 

“Usaha ini merangkumi perkongsian pengetahuan berkaitan literasi kewangan, pendedahan kepada produk dan perkhidmatan perbankan serta khidmat nasihat kewangan. 

“Agrobank turut membantu masyarakat orang asli yang berminat untuk membuka akaun bank bagi memudahkan mereka menggunakan perkhidmatan perbankan dan menguruskan kewangan dengan lebih baik,” ujarnya 

Dalam program yang sama, Agrobank menyampaikan cek cura bagi Pelan Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus (TKP) dengan nilai perlindungan keseluruhan berjumlah RM3.3 juta.

Ia memberi manfaat kepada 300 masyarakat orang asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan menawarkan manfaat perlindungan merangkumi kematian akibat kemalangan, keilatan kekal, perbelanjaan pengebumian dan perubatan serta elaun hospital.

Tambahnya, Agrobank juga akan terus memperluas jangkauan perkhidmatannya bagi meningkatkan akses masyarakat luar bandar dan pedalaman kepada perkhidmatan kewangan formal dan pengetahuan kewangan.

“Ia di samping menyediakan pembiayaan yang bersesuaian kepada usahawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×