SHAH ALAM 4 Ogos – Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun di sini kira-kira pukul 8.59 pagi.
Bagaimanapun lawannya, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam tidak mengundi kerana bukan pengundi berdaftar di Sungai Kandis manakala pergerakan calon Bebas, K. Murthy gagal dikesan.
Mohd. Zawawi, 48, yang diiringi isterinya, Hazlina Abd.Razak masing-masing selesai menunaikan tanggungjawabnya pada pukul 9.10 pagi.
Ketika ditemui pemberita, Mohd.Zawawi berkata, beliau bersyukur kerana telah selesai menjalankan tanggungjawabnya.
“Alhamdulillah, saya selamat mengundi bersama isteri dan seorang lagi anak lelaki berusia 23 tahun yang layak mengundi.
“Secara keseluruhannya, kempen selama 14 hari berjalan lancar dan saya menasihatkan kepada semua pengundi yang layak supaya turun mengundi,” katanya.
Sementara itu, proses pengundian di SK Jalan Kebun, di sini berjalan lancar sejak dibuka kepada pengundi kira-pukul 8 pagi ini.
PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma. – UTUSAN ONLINE










