KAJANG – Kegiatan seorang lelaki menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat sebagai makmal mini memproses dadah di Taman Cheras Idaman di sini terbongkar apabila dicekup polis pada 31 Julai lalu.
Suspek yang berusia 33 tahun dan tidak bekerja itu menjalankan kegiatan memproses dadah jenis heroin secara berseorangan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, semasa serbuan itu, polis turut menemui bahan mentah untuk memproses dadah heroin, beberapa peket heroin dan syabu dengan harga pasaran bernilai kira-kira RM65,800.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan memproses dadah antaranya periuk elektrik, periuk tembaga, corong dan bekas plastik.
“Dengan adanya rampasan tersebut, tangkapan tersebut dikelaskan sebagai makmal mini memproses dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.
Ahmad Dzaffir menambah, suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Ujian air kencing suspek adalah positif methamphetamine dan morfin dan pasaran dadahnya adalah di sekitar bandar ini dan Selangor.
“Punca bekalan bahan mentah heroin dan dadah jenis syabu yang dijumpai masih dalam siasatan,” ujarnya.
Suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga Selasa ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










