PULAU PINANG 3 Ogos – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bimbang ketika menghadiri pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Padang Kota Lama esok.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk berdepan sebarang ancaman yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam ketika ini.
“Dalam hal ini, tanggungjawab mengekalkan keamanan bukan sahaja menjadi tanggungjawab polis, malah orang awam juga perlu memainkan peranan yang sama.
“Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang aman damai dan sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang maklumat mengatakan akan berlaku insiden tidak diingini pada program berkenaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program ‘Community Policing’ bersama kumpulan sasterawan Tamil di Restoran Jaya, Jalan Gottlieb, di sini, malam tadi.
Dianggarkan lebih daripada 30,000 orang akan membanjiri Padang Kota Lama sempena pelancaran tersebut yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada malam esok. – UTUSAN ONLINE










