SIBU – Polis mengesahkan punca kematian seorang penjawat awam wanita yang ditemui mati dipercayai dibunuh adalah akibat pendarahan pada kepalanya susulan hentakan kuat menggunakan objek tumpul dalam satu kejadian di sebuah rumah sewa di Jalan Tiong Hua di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, punca kematian wanita berusia 26 tahun berkenaan diketahui selepas pihaknya menerima laporan bedah siasat dari Unit Forensik Hospital Sibu di sini hari ini.
Jelasnya, laporan bedah siasat juga mendapati mangsa mengalami kesan retak pada bahagian tengkorak selain pendarahan otak.
“Antara lain, hasil bedah siasat turut mendapati terdapat banyak kesan lebam pada muka, kepala dan leher mangsa.
“Polis juga masih memburu seorang lelaki bernama Philip Uja, 40-an bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis giat mencari seorang lelaki yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan kes pembunuhan pembantu pendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Nurnia Azalea Priscilla Edward di Jalan Tiong Hua di sini.
Siasatan awal polis mendapati lelaki itu dilihat berada di kawasan rumah sewa mangsa pada malam sebelum mangsa dijumpai mati petang kelmarin.
Bagaimanapun, polis belum mendapat gambaran jelas mengenai hubungan lelaki itu dengan mangsa namun rakan-rakan mangsa memberitahu mangsa pernah menyatakan lelaki itu pernah berjumpa dengannya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE










