Polis cari kenalan si mati untuk bantu siasatan - Utusan Malaysia

Polis cari kenalan si mati untuk bantu siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU 3 Ogos – Seorang lelaki sedang dicari polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita yang ditemukan dengan tangan dan kaki diikat ke belakang di rumah sewanya di Jalan Tiong Hua di sini semalam.

KENALAN mangsa, Philip Uja, 40, dicari pihak polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita
KENALAN mangsa, Philip Uja, 40, dicari pihak polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, lelaki tersebut yang dipercayai mengenali mangsa berasal dari Kanowit difahamkan ada menemui si mati sebelum itu.

“Lelaki ini dikenali sebagai Philip Uja, 40, dipercayai telah datang ke rumah sewa mangsa pada malam terakhir sebelum penemuan mayat berkenaan.

“Justeru itu, kita berharap jika ada sesiapa yang mengenali dan mengetahui di mana lelaki ini berada untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Semalam, mangsa, Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, ditemukan dalam keadaan kaki dan tangan diikat ke belakang dan muka ditutup dengan tudungnya dalam keadaan tertiarap di lantai kira-kira pukul 3 petang.

Sebelum itu, suami mangsa telah cuba menghubungi isterinya namun tidak berjaya sebelum rakan si mati pergi mencarinya di rumah sewa berkenaan.

Dalam pada itu, Stanley juga menafikan berita tersebar di media sosial bahawa mangsa telah dirogol berikutan bedah siasat masih belum dibuat. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN