SHAH ALAM 4 Ogos – PKR mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis apabila calonnya, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi mengalahkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang mendapat 9,585 undi.
Seorang lagi calon yang bertanding iaitu calon Bebas, K. Murthy hilang wang deposit apabila hanya memperoleh 97 undi.
Bagaimanapun, kemenangan PKR tersebut dibayangi dengan tindakan ‘boikot’ oleh para pengundi apabila hanya 49.4 peratus daripada 51,230 mereka yang layak memilih, keluar mengundi walaupun hari pengundian dibuat pada hari cuti hujung minggu.
Jumlah keluar mengundi jauh merosot berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang mencatatkan 85.57 peratus, dengan saluran muda paling ketara ‘memboikot’ Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis kali ini.
Tindakan itu dipercayai ada kaitannya dengan protes rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji kerana jumlah undi yang diperoleh Lokman tidak jauh berbeza dengan keputusan PRU-14 lalu.
Namun, ia berbeza dengan PKR apabila Mohd. Zawawi hanya mampu memperoleh 15,427 undi iaitu penyusutan lebih 8,000 undi berbanding jumlah yang diterima penyandang DUN Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei iaitu sebanyak 23,998 undi.
Ia juga dikatakan manifestasi kekecewaan rakyat terhadap PH dalam isu-isu membabitkan Islam dan Melayu kerana majoriti pengundi di Sungai Kandis adalah Melayu iaitu lebih 71 peratus dan kaum itu merupakan kelompok paling ramai ‘memboikot’.
Ini kerana, adalah tidak sepatutnya timbul isu ‘boikot’ jika sentimen Malaysia baharu masih kuat dalam jiwa rakyat, tambahan pula tempoh berkempen dipanjangkan kepada 14 hari oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbanding hanya 11 hari pada PRU-14.










