SHAH ALAM 2 Ogos – PKR didakwa menggunakan taktik kotor termasuk politik wang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bagi meraih sokongan pengundi.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau menerima maklumat itu menerusi sumber perisikan berhubung taktik berkenaan dan meminta semua agensi termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak.
Sehubungan itu, katanya, BN juga telah menubuh dan mengarahkan jawatankuasa pemantau melakukan siasatan di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi mengelak perkara tersebut berlaku.
“Mereka akan ‘bom’ saat akhir demi kemenangan. Cuma saya rayu jangan serahkan kad pengenalan jika mereka datang hulurkan wang. Nak terima atau tidak terpulang pada masing-masing.
“Apa yang kita harapkan tiada sesiapa terpengaruh kerana senang hanya sekejap tetapi sengsara untuk tempoh lima tahun akan datang. Kita akan pantau nanti,” katanya ketika dtemui dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam pada itu, Lokman menafikan dakwaan kononnya beliau menjalani ritual Hindu semasa berkempen di kuil Sri Maha Maraiamman baru-baru ini.
“Pakaian tersebut sebenarnya merupakan satu penghormatan kaum India kepada pemimpin. Saya berucap di kuil itu dan saya diberikan kain berwarna oren sebagai tanda penghormatan.
“Ini bukan bermakna saya sudah menjalani ritual Hindu, nampak sangat mereka risau dengan BN,” jelas beliau.










