PULAU PINANG 4 Ogos – PKR mengalu-alukan ‘sikap terbuka’ UMNO dan Pas yang mengumumkan untuk menjalin kerjasama politik bagi menghadapi dua Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan DUN Seri Setia.
![]() |
|
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
|
Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sikap terbuka itu penting kerana rakyat ketika ini memerlukan suatu kejelasan berhubung status ‘hubungan’ antara kedua-dua parti itu.
“Macam Keadilan (PKR), kami mengisytiharkan ada kerjasama dengan DAP, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Amanah (Parti Amanah Negara) serta Warisan di Sabah.
“Warisan walaupun bukan sekutu yang sah, tapi adalah ‘friendly partner’ (rakan baik). Jadi, kami isytiharkan (kerjasama) dan rakyat sudah jelas mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Saifuddin, jika kerjasama UMNO-Pas itu diteruskan, beliau yakin kedua-dua parti mampu menjadi blok pembangkang yang kuat untuk menjalankan tugas ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan menjalin kerjasama dengan Pas bagi menghadapi PRK DUN Seri Setia sebagai tanda ‘penghargaan’ terhadap sokongan Pas kepada parti itu pada PRK DUN Sungai Kandis, hari ini. – UTUSAN ONLINE











