KUALA LUMPUR 14 Ogos – Kerajaan didesak segera mengatasi masalah kelambatan pembayaran kepada para kontraktor berikutan perkara tersebut mengganggu kelancaran pelaksanaan dan siapnya sesuatu projek.
![]() |
|
MOKHTAR
|
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad berkata, soal kelambatan bayaran tersebut harus diberi penekanan yang lebih oleh kerajaan bagi mengelak timbulnya pelbagai masalah lain khususnya kepada kontraktor kecil.
“Secara keseluruhannya, apa yang PKMM harapkan ialah kerajaan sentiasa memberi peluang kepada kontraktor Melayu untuk melibatkan diri dalam apa juga projek infrastruktur negara sambil beberapa isu berkaitan khususnya soal kelambatan pembayaran dapat diatasi dengan sebaik-baiknya supaya akhirnya manfaat daripada pembangunan itu dapat dinikmati secara bersama dan menggembirakan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, jelas beliau, pihaknya yakin kerajaan tidak akan sama sekali mengabaikan golongan kontraktor Melayu dalam pelaksanaan projek-projek berkepentingan negara.
Menurutnya, kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dibantu Tun Daim Zainuddin sejak dahulu lagi diketahui sentiasa menyokong kemajuan golongan bumiputera dan dasar itu dipercayai akan diteruskan.
“PKMM yakin kerajaan Pakatan Harapan akan memberi peluang kepada golongan kontraktor Melayu untuk terlibat dalam projek-projek negara seperti transit aliran massa (MRT), transit aliran ringan (LRT), pembinaan lebuh raya dan pelbagai infrastruktur lain.
“Sebagaimana sudah dibuktikan selama ini, golongan kontraktor Melayu memang mempunyai kelayakan dan mampu menyiapkan apa juga projek yang diberikan kerajaan,” katanya.
Jelas Mokhtar, sebagai golongan peniaga dan usahawan, mereka akan sentiasa komited untuk membantu kerajaan melaksanakan apa sahaja projek pembangunan yang diamanahkan dan tidak terikat dengan sentimen politik kepartian.
“Matlamat utama PKMM adalah membantu kerajaan membina dan membangunkan negara serta kekal beriltizam menyokong setiap usaha serta dasar dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE












