KOTA BHARU 11 Ogos – Pakatan Harapan (PH) yakin pihaknya mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong serta Seri Setia biarpun berdepan cabaran sengit daripada pihak lawan.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan situasi semasa ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, baru-baru ini.
Kata beliau, dalam PRK DUN Sungai Kandis, ‘persefahaman’ yang telah mula dibentuk oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas masih belum berjaya menggugat pengaruh PH.
“Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, peratusan mengundi tidak sampai 50 peratus, tetapi calon PH tetap menang. Antara sebabnya, orang Pas sendiri tak nak mengundi calon BN.
“Begitu juga di Balakong dan Seri Setia. Calon PH boleh menang mudah, terutama calon DAP di Belakong kerana majoriti penduduk di situ bukan Islam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri dialog bersama penduduk di Kuala Besar, di sini malam tadi.
PRK DUN Balakong diadakan serentak dengan PRK DUN Seri Setia iaitu 8 September sebagai hari mengundi manakala penamaan calon ditetapkan pada 18 Ogos.
Kerusi DUN Balakong kosong selepas penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee, meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga pada 20 Julai lalu.
Sementara itu, PRK DUN Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof. Dr.vShaharuddin Badaruddin, meninggal dunia awal bulan ini di Hospital Putrajaya, akibat barah usus dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH menang dengan majoriti besar iaitu 35,538 undi di Balakong manakala di Seri Setia, majoriti diperoleh calon PH ialah 19,372 undi. – UTUSAN ONLINE











