KUALA LUMPUR 1 Ogos – Perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China setakat ini hanya memberi kesan minimum kepada Malaysia berdasarkan pusingan tarif awal yang dikenakan antara dua negara kuasa besar dunia itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, kerajaan bagaimanapun memandang berat dan memantau isu berkenaan dengan rapat secara harian dan mingguan bagi meneliti impaknya kepada negara.
“Kementerian telah menubuhkan satu pasukan khas terdiri daripada pelbagai agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memantau situasi itu.
“Setakat ini, impak perang dagangan dilihat sangat minimum kepada negara, namun kerajaan akan terus memantaunya dengan teliti setiap hari, malah saya juga menerima laporan secara mingguan berkenaan isu tersebut,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar pemahaman Sistem Pengesanan oleh Pemeriksaan dan Pensijilan China (CCIC) kepada pengeksport tempatan di Menara Matrade di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Ir. Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros dan Ketua Pegawai Eksekutif CCIC Malaysia, Fujun.
Mengulas mengenai Sistem Pengesanan CCIC beliau berkata, ia bertujuan memastikan produk Malaysia yang dieksport ke pasaran China dilindungi daripada produk tiruan, selain menjadi satu pengiktirafan kepada keaslian produk tempatan.
Kian Ming berkata, dengan menggunakan kod QR yang dicetak pada setiap produk, pengguna di China boleh mengimbas sendiri sesuatu produk itu bagi mengetahui sama ada ia adalah tulen atau sebaliknya hanya menggunakan aplikasi.











