KUALA LUMPUR 3 Ogos – Bakal berentap dengan sembilan lagi peserta yang menyertai Big Stage 2018 (BS 2018), penyanyi muda, Tajul Arif, 20, berharap dia dapat menepis dakwaan yang selama ini mempertikaikan kredibiliti nyanyiannya.
Menurut anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, program yang akan bermula Ahad ini adalah masa terbaik untuk membuktikan kepada khalayak bahawa dia berupaya bergelar seorang penyanyi versatil.
“Sebelum ini peminat hanya nampak sisi saya sebagai penyanyi irama balada pop sahaja. Disebabkan itulah saya cabar diri untuk menyertai program ini untuk mencuba pelbagai genre lain terutamanya lagu berentak rock.
“Saya mahu orang di luar sana nampak sisi berbeza yang bakal ditampilkan dari semasa ke semasa jika diberi peluang secukupnya,” jelas pemilik nama penuh Tajul Ariff Noor Md. Shari itu.
Selain itu, Tajul berharap penglibatannya dapat memperluaskan lagi jenamanya meskipun telah mempunyai pengaruh tersendiri berdasarkan populariti diraih di laman sosial berjumlah lebih 637,000 pengikut. – UTUSAN ONLINE










