PASIR MAS 8 Ogos – Lebih 200 peniaga Pasar Tasek Raja, di sini berhimpun secara aman membantah kewujudan sistem letak kereta berpalang yang diiperkenalkan Majlis Daerah Pasir Mas (MPDM) di situ.
Bantahan tersebut dibuat di kawasan letak kereta berhampiran Plaza Serangkai Mas dalam suasana harmoni mengikut peraturan sebagaimana ditetapkan pihak berkuasa.
Timbalan Pengerusi II Persatuan Peniaga Pasar Tasek Raja, Mohd. Sakhi Abdul Kadir berkata, sejak diperkenalkan 22 Jun lalu itu, tempat letak kereta berbayar yang digelar ‘tol’ itu menjejaskan periuk nasi peniaga.
Hal ini kerana, jumlah kehadiran orang ramai berkurangan sejak ia diperkenalkan.
”Bantahan telah dibuat beberapa kali. Hari ini kami berhimpun sebagai alternatif terakhir diambil persatuan selepas suara kami tidak didengari oleh pihak MDPM.
“Persatuan amat sedih dan terkilan dengan tindakan ‘membisu’ MDPM yang tidak memberikan sebarang respon terhadap isu ini,” katanya.
Mohd. Sakhi kemudian menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Rantau Panjang Dr. Wan Shah Jihan Wan Din untuk membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan keluhan orang ramai terhadap sistem letak kereta berpalang yang mengenakan caj setiap kali mereka ke situ sehingga menyebabkan mereka memilih pergi ke pasar lain.
Dalam pada itu, Mohd. Sakhi memberitahu, persatuan hanya mahu suara peniaga didengari dan mereka terbuka untuk bertemu dan berbincang dengan MPDM bagi menyelesaikan isu tersebut.
Sementara itu, Wan Shah Jihan berkata, beliau akan menyerahkan memorandum itu kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan secepat mungkin.
Katanya, pihaknya akan cuba sedaya upaya membantu pihak peniaga menyelesaikan masalah tersebut. – UTUSAN ONLINE










