KUALA LUMPUR – Arahan kerajaan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) menutup semua kilang memproses sisa plastik di Kuala Langat, Selangor ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Kilang-kilang tersebut masih beroperasi seperti tidak putus stok sisa plastik walaupun Permit Lesen Import (AP) barang buangan tersebut sudah dihentikan kerajaan.
Hanya yang berbeza ialah selepas heboh isu kilang memproses sisa plastik mengancam kesihatan 300,000 penduduk di daerah itu, kilang-kilang tersebut kini hanya melakukan operasinya pada waktu malam iaitu sekitar pukul 9 malam sehingga pukul 8 pagi.
Difahamkan masih terdapat kira-kira 30 buah kilang beroperasi seperti biasa di Kuala Langat di sebalik kegusaran dan rungutan penduduk yang bimbang dengan masalah pencemaran udara dan risiko kesihatan.
Satu sumber yang enggan dinamakan memberitahu, dia yang keluar membuat tinjauan secara peribadi di beberapa buah kilang kitar semula di Telok Panglima Garang dan Jenjarom pada Isnin lalu mendapati kilang-kilang tersebut terus beroperasi seperti biasa tetapi beralih kepada waktu malam.










