KUALA LUMPUR 2 Ogos – Tindakan seorang pendandan rambut yang menampar seorang pelanggan wanita dalam satu pertengkaran di sebuah salun, dua bulan lalu, memakan dirinya apabila lelaki itu didenda RM1,200 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Phua Hock Seng, 39, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah di hadapan Majistret Maizatul Munirah Abd. Rahman atas pertuduhan menampar muka Yong Siew Peng, 45, dengan tangannya di salun QQ Cut di Mid Valley Megamall, pada pukul 8.30 malam, 3 Jun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Hock Seng yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda atas alasan dia telah meminta maaf kepada mangsa manakala Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd. Halim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira faktor keselamatan awam.
“Perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku dan kejadian sebegini perlu dicegah supaya tidak berleluasa. Tertuduh harus mengawal emosi dan tidak menggunakan kekerasan fizikal terhadap pelanggannya,” kata Noorelynna Hanim.
Difahamkan, mangsa ke salun berkenaan ditemani anaknya untuk menggunting rambut. Tertuduh pada awalnya menegur mangsa agar tidak bergerak kerana bimbang tergunting telinga wanita itu.
Namun, kedua-duanya bertengkar dan tertuduh tidak dapat mengawal emosinya lalu menampar mangsa.










