KUALA LUMPUR 14 Ogos – Pendaftaran Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail boleh dibuat di 67 cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd. Naim Daruwish berkata, mereka yang layak perlu mendaftar sebagai ahli KWSP sebelum memohon menyertai caruman tersebut.
“Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profilnya didaftarkan dengan sistem e-Kasih boleh menyertai i-Suri dengan membuat caruman minimum RM5 setiap bulan.
“Caruman itu perlu dibuat ke dalam akaun simpanan persaraan bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Wan Azizah memaklumkan, bermula 15 Ogos ini kerajaan akan menyumbang sebanyak RM40 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minimum RM5 ke dalam akaun KWSP.
Tambah Mohd. Naim, individu yang menepati kelayakan dan membuat pendaftaran akan menikmati manfaat sama seperti ahli KWSP, antaranya dividen tahunan ke atas simpanan persaraan serta lain-lain kemudahan.
“Manfaat lain ialah pengeluaran pada usia 50, 55 serta 60, bantuan hilang upaya dan bantuan kematian yang merupakan insentif tambahan.
“Menurut statistik e-Kasih, kira-kira 221,890 suri rumah; 98,536 balu serta 28,116 ibu tunggal miskin tegar layak menerima insentif setelah mendaftar dalam i-Suri,” katanya.
Jelasnya lagi, untuk maklumat lanjut mengenai e-Kasih, orang ramai boleh layari www.kwsp.gov.my atau mengunjungi cawangan KWSP di seluruh negara.











