Pekerja warga Indonesia maut terjatuh dalam tangki kumbahan - Utusan Malaysia

Pekerja warga Indonesia maut terjatuh dalam tangki kumbahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 11 Ogos – Seorang pekerja kontrak pembersihan warga Indonesia maut selepas melakukan kerja-kerja penyelenggaraan tangki kumbahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Abdul Basit, 32, yang tidak memakai sebarang alat keselamatan disyaki terhidu gas amonia dan methana ketika masuk seorang diri ke dalam saluran tangki septik sedalam 10 meter itu.

“Sebelum tidak sedarkan diri, mangsa sempat meminta bantuan namun dua rakan sekerjanya yang cuba membantu gagal berbuat demikian kerana mereka juga hampir pengsan selepas terhidu gas tersebut ketika cuba membawa mangsa keluar dari tangki berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seorang lagi pekerja iaitu pemandu lori penyelenggaran dan pembersihan tersebut terus minta bantuan daripada polis bantuan lapangan terbang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Kulai yang tiba di lokasi kejadian pukul 12.15 tengah hari berjaya membawa keluar mangsa pukul 12.50 tengah hari sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.

Katanya, dua rakan mangsa iaitu Nazri Yasin, 40, yang merupakan rakyat tempatan dan Sutrisno, 44, warga Indonesia kini ditahan di wad di Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai kerana tidak sedarkan diri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×