Shanghai 3 Ogos – Pemain dari Brazil Alexandre Pato membuat kejutan apabila meledak gol menerusi sepakan bebas sama seperti jaringan sensasi David Beckham ketika bersaing dalam Liga Super China, semalam.
Tendangan deras pemain berusia 28 tahun dari AC Milan itu dilihat melencong, sebelum mencelah tembok pertahanan Shanghai SIPG pada minit ke-27 untuk menyamakan kedudukan Tianjin Quanjian 1-1.
Bola tendangan tersebut terdahulu dilihat tersasar jauh dari gawang, namun momentum sepakan Pato itu bagaimanapun membolehkan ia menuju ke arah gol.
Jaringan tersebut telah membayangi gol bekas pemain England serta bintang Manchester United dan Real Madrid, Beckham, yang terkenal dengan sepakan bebasnya.
Beckham, yang mengenali Pato ketika bersama mewakili Milan, memberi maklum balas lucu kepada bekas rakan sepasukannya itu menerusi Instagram.
“Gol yang cantik kawan, mungkin anda pernah melihat jaringan ini daripada saya,” tulis Beckham.
Pato membalas: “Kawanku! Saya pasti ini adalah hasil daripada sesi latihan yang pernah kita lakukan bersama.”
Pato telah bangkit semula sejak tiba di China pada 18 bulan yang lalu selepas satu siri kecederaan membatalkan kerjayanya di Eropah.- AGENSI










