KULIM – Tiga pasangan kekasih dibawa ke Balai Polis Kulim di sini dengan menaiki van jenazah selepas ditahan kerana disyaki berkhalwat di rumah tumpangan dan hotel bajet di sekitar daerah ini semalam.
Serbuan Ops Bajet 2 oleh Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) itu dilakukan bermula pukul 11.30 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam.
Pegawai Penguat Kuasa PADK, Anwar Shariffudin Mad Saad berkata, serbuan tersebut dilakukan bagi memastikan semua rumah tumpangan dan hotel bajet bebas daripada perlakuan maksiat.
Kata beliau, antara yang ditahan ialah seorang pelajar perempuan tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di Selama, Perak bersama teman lelakinya berusia 21 tahun di sebuah rumah tumpangan di Jalan Lunas di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam.
“Selain pelajar perempuan dan teman lelakinya itu, kita turut menahan dua lagi pasangan berusia antara 18 tahun hingga 44 tahun masing-masing di rumah tumpangan di Jalan Lunas dan hotel bajet di Keladi kerana disyaki melakukan kesalahan sama.
“Kesemua mereka kemudian dibawa menaiki sebuah van jenazah milik Masjid Jamiul Makmur Kulim ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan dan rekod tangkapan sebelum dijamin waris masing-masing,” katanya di sini semalam.










