Pasangan ditangkap berdua-duaan ‘mandi’ air kumbahan - Utusan Malaysia

Pasangan ditangkap berdua-duaan ‘mandi’ air kumbahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ACEH – Sekumpulan penduduk di sini bertindak sendiri menyiram air kumbahan bagi menghukum sepasang kekasih yang didakwa mengadakan hubungan seks tanpa nikah.

Satu klip video yang dimuat naik ke internet menunjukkan pasangan itu diarahkan duduk bercangkung berhampiran satu pembetung terbuka sebelum orang ramai menyiram air kumbahan ke atas mereka.

Pasangan itu yang hanya dikenali sebagai TSF dan DK dilaporkan berusia lingkungan 30-an menerima hukuman itu di tepi sebatang jalan di bandar Langsa dekat sini kerana melanggar undang-undang syariah.

TSF dilaporkan merupakan Ketua Lembaga Perancangan Pembangunan Bandar Langsa, manakala wanita itu dipercayai merupakan kakitangannya.

“Lelaki berkenaan sering kali ke rumah wanita itu yang masih bujang menyebabkan jiran-jirannya membuat intipan ke atas mereka beberapa hari lalu sebelum penduduk menyerbu rumah wanita berkenaan.

“Penduduk yang berang dengan perbuatan tidak bermoral itu bertindak menyimbah air kumbahan ke atas pasangan tersebut,” kata Ketua Pejabat Agama Islam, Ibrahim Latif.

Menurutnya, lelaki berkenaan cuba meyakinkan orang ramai dengan menunjukkan sijil nikah tetapi mereka tidak percaya dan mempersoalkan kesahihan dokumen itu.

Pasangan tersebut selepas itu dibawa ke pejabat agama bagi melakukan siasatan lanjut berkenaan sijil nikah mereka sama ada palsu atau sebaliknya.

Menurut beberapa laporan tempatan, sekiranya sijil itu didapati palsu, kedua-dua pasangan itu akan menerima hukuman sebat. Aceh merupakan satu-satunya kawasan yang mengamalkan undang-undang syariah di negara majoriti umat Islam itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN