KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sepuluh tahun lalu, Afieq Shazwan, 21, pernah bergelar finalis Idola Kecil musim pertama dan kini kembali menjadikan program realiti nyanyian sebagai pemangkin untuknya meneroka kembali cabang dunia seni yang telah lama dipinggirkan.
Lebih bergiat aktif sebagai pelakon dan model komersial, Afieq atau Muhammad Syafieq Shazwan Zamrus berharap pembabitannya dalam rancangan Big Stage 2018 (BS 2018) dapat mengubat kerinduannya menyanyi secara langsung atau live sewaktu membuat persembahan.
“Rasanya, inilah kelebihan terbaik yang boleh dipertaruhkan untuk menambat hati barisan juri profesional terhadap kredibiliti nyanyian saya.
“Walaupun saya dilihat lebih banyak tampil di kaca televisyen sebagai pelakon berbanding penyanyi, namun minat kepada bidang nyanyian masih mendalam,” katanya.
Afieq yakin, vokalnya mampu menyahut cabaran menyanyi secara langsung hasil latihan dari semasa ke semasa biarpun karier lakonannya lebih menyerlah di mata umum.
Enggan memandang rendah kebolehan pesaing lain, jejaka tinggi lampai itu tekad mahu fokus dan memberikan komitmen penuh mengukir nama sebagai penyanyi serba boleh.
Menjelang persembahan pembuka tirai BS 2018 esok, Afieq memberikan tumpuan penuh terhadap mutu vokal serta gaya penyampaiannya mendendangkan single nyanyian sendiri, Seandainya. – UTUSAN ONLINE











