Nostalgia Club Mickey Mouse - Utusan Malaysia

Nostalgia Club Mickey Mouse

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH 60 tahun dahulu, rancangan televisyen aneka ragam kanak-kanak popular Amerika Syarikat, Club Mickey Mouse pertama kali ditayangkan melalui saluran ABC terbitan syarikat media dan hiburan unggul dunia, Walt Disney Productions.

Barangkali nama-nama seperti Jimmie Dodd, Roy Williams atau Annette Funicello kedengaran asing terhadap masyarakat terutama golongan kanak-kanak hari ini, sedangkan mereka adalah individu terawal yang memperkenalkan fenomena jenama berkenaan. Mereka adalah sekumpulan remaja digelar Mouseketeers.

Pada ketika itu, televisyen masih lagi monokrom (hitam putih). Mouseketeers mempersembahkan pelbagai jenis pertunjukan muzik dan tarian di samping beberapa segmen penerangan. Dengan itu, ia kekal sebagai perintis kepada kesinambungan Club Mickey Mouse yang masih kekal sehingga hari ini.

Pengasas Club Mickey Mouse versi asal, mendiang Bill Walsh pernah berkata: “Fantasi sedikit sebanyak sebahagian daripada kesukaran moden dan khalayak yang berfantasi adalah satu perkara yang bagus.

“Khalayak mendapat realiti daripada respons orang lain; dengan realiti tersebut mereka mencipta kejayaan.”

Buat mereka yang berusia dalam lingkungan usia bawah 30 tahun sekarang, pasti sinonim dengan nama-nama bintang yang sedang dan masih bercahaya sekarang seperti Britney Spears, Cristina Aguilera, Justin Timberlake dan Ryan Gosling. Mereka merupakan selebriti yang dicungkil bakat seni daripada Club Mickey Mouse.

Puteri pop, Britney Spears dalam satu wawancara bersama portal Pop Sugar mengatakan bahawa penglibatan dalam rancangan berkenaan adalah kenangan terbaik dalam hidupnya.

“Ia adalah mungkin pengalaman paling menyeronokkan sepanjang kehidupan saya,” katanya.

Di Malaysia, Mickey Mouse Club musim kedua sedang rancak ditayangkan melalui saluran Disney (Astro 615) bermula 28 Jun lalu.

Charis kembali menghidupkan peranannya sebagai ketua Mouseketeer bersama-sama dengan ahli Mouseketeer lain iaitu Dheena, Erissa, Faiz, Gabriel dan Wafiy.

Selepas Mouseketeer Natasya mengucapkan selamat tinggal pada musim pertama, bakat baharu Ellya yang berumur 14 tahun pula menyertai keluarga Mouseketeer dalam musim ini. Kumpulan Mouseketeer yang comel ini akan terus menghiburkan kanak-kanak dan seisi keluarga dengan rancangan kontemporari yang menepati cita rasa unik tempatan.

Idola

Ditemui Kosmo! baru-baru ini, salah seorang Mouseketeers, Wafiy atau nama sebenarnya, Mohd.Wafiy Ilhan Johan, 15, berkata, dia sangat teruja untuk beraksi dalam Club Mickey Mouse versi Malaysia.

“Ini adalah musim kedua dan saya berharap dapat memberi inspirasi dan pengajaran kepada golongan kanak-kanak supaya melakukan apa sahaja perkara yang memberi kebaikan buat diri mereka.

“Rancangan ini bukan sahaja tentang gaya tarian atau nyanyian. Ia juga memberi penekanan tentang elemen lain seperti persahabatan dan sentiasa yakin apabila berhadapan dengan lensa kamera,” ujar Wafiy yang menjadikan Justin Timberlake sebagai sumber rujukan.

Buat pendatang baharu dalam keluarga Club Mickey Mouse, Ellya, dia amat meminati kredibiliti dan gaya nyanyian Cristina Aguilera.

“Apa yang penting, dalam kita melunaskan hobi jangan sesekali lupa hal yang mustahak iaitu pelajaran.

“Saya memang minat menari dan menyanyi. Idola saya ialah Cristina Aguilera dan bagi saya, dia adalah Mouseketeers pilihan hati,” kongsi Ellya.

Sementara itu, seorang lagi Mouseketeers, Errisa yang ditanya berkenaan resipi berdepan dengan kritikan apabila bergelumang dalam dunia seni pada usia muda, dia optimis memberikan jawapan.

“Zaman sekarang sudah berbeza. Kecaman itu ada di mana-mana. Sebagai golongan remaja, kita tidak terlepas daripada menjadi bahan kritikan.

“Apa yang boleh dilakukan hanyalah teruskan perjalanan dan buat perkara yang kita suka asalkan ia tidak menconteng arang ke muka ibu dan bapa kita, kritikan itu tolak tepi sahaja,” jelasnya.

Peluang asah bakat

Komposer yang menyumbangkan dua buah lagu original dalam Club Mickey Mouse kali ini, Audi Mok berpendapat, program berkenaan membuka peluang kepada bakat-bakat muda untuk terus diperkenalkan ke tahap yang lebih tinggi.

Kata Audi atau nama sebenarnya, Audi Mok Chuang Yew, dia melihat peluang yang cerah dalam diri setiap Mouseketeers musim baharu ini.

“Kata orang, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kalau ingin dibandingkan dengan arena Hollywood, ia berbeza kerana industri mereka lebih besar.

“Namun setelah menghabiskan masa bekerja dengan tujuh Mouseketeers musim ini, saya melihat bakat mereka sangat besar. Tidak mustahil akan menjadi pelapis penyanyi hebat akan datang,” ujar Audi yang menulis dua buah lagu original berjudul Crazy dan Start Me Up untuk musim ini.

Dijentik persoalan tentang nilai nostalgia rancangan tersebut terhadap dirinya, Audi menjelaskan ia sangat dekat dengan dirinya sebagai seorang yang dibesarkan dengan pengaruh muzik yang kuat.

“Dahulu perisa rancangan ini berbeza dan ia sangat dekat dengan hati semua orang bukan sahaja diri saya. Club Mickey Mouse dari zaman televisyen hitam putih sudah wujud.

“Semestinya ia memainkan peranan penting dalam memberi ransangan dan motivasi kepada golongan kanak-kanak atau remaja agar mengejar impian masing-masing. Britney Spears atau Justin Timberlake pun dahulu selepas lima tahun ‘keluar’ dari program ini baru menjadi bintang hebat global,” kongsi Audi lagi.

Relevan

Kosmo! juga sempat melayangkan pertanyaan melalui e-mel kepada Penerbit Eksekutif Club Mickey Mouse, Garry Sinclair untuk bertanya tentang kedudukan dan tahap relevan program berkenaan terhadap masyarakat terutama golongan kanak-kanak atau remaja hari ini.

Kata Sinclair, pada era modenisasi sekarang, program tersebut dibikin selaras dengan kehendak dan perubahan zaman yang semakin mencabar serta bersifat digital.

Club Mickey Mouse masih lagi mengekalkan intipati asal iaitu komedi, muzik, tarian dan permainan termasuk kemunculan istimewa selebriti popular.

“Apa yang penting juga, Mouseketeers berperanan berkongsi nilai persahabatan dan rakan-rakan yang mereka sayang. Ia merupakan sesuatu yang saya rasa audiens senang untuk menerima.

“Ia juga boleh diikuti melalui platform sosial media Disney Channel Asia seperti YouTube, Facebook dan Instagram sebagaimana kehendak sekarang yang lebih ke arah digital. Saya percaya, anak muda sekarang juga lebih selesa bersembang melalui kaedah digital,” kongsinya.

Tambah Sinclair lagi, beliau berpendapat Mickey Mouse masih kekal sebagai antara karakter kartun yang cukup dekat dalam hati orang ramai terutama golongan kanak-kanak.

“Mickey Mouse adalah seorang sahabat yang akan selalu ada untuk golongan kanak-kanak.

“Tahun ini, kita menyambut sembilan dekad sejak kemunculan Mickey Mouse melalui episod istimewa Club Mickey Mouse yang akan bertemu penonton pada November,” dedah Sinclair melalui balasan e-mel.

Rancangan televisyen aneka ragam kanak-kanak popular, Club Mickey Mouse (versi Malaysia) kembali untuk musim kedua yang sedang rancak ditayangkan melalui saluran Disney (Astro 615).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN