OSLO 1 Ogos – Kementerian Luar Norway menggesa Israel menjelaskan secara undang-undang mengenai tindakannya merampas kapal yang digunakan oleh kumpulan aktivis negara ini untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
Portal berita Presstv melaporkan, kementerian tersebut menerusi jurucakapnya mendesak supaya Israel membuat penjelasan terperinci berhubung insiden itu dengan segera.
Kementerian itu juga memaklumkan bahawa pihaknya kini dalam usaha membebaskan lima rakyat negara ini yang ditahan atas kapal tersebut bersama 22 yang lain.
Terdapat dua penduduk Israel atas bot berkenaan namun mereka sudah dibebaskan.
Sehingga kini, Israel enggan memberi sebarang kenyataan balas berhubung gesaan tersebut.
Pasukan tentera Israel sebelum itu memintas kapal al-Awda kira-kira 60 batu nautika di luar kawasan perairan antarabangsa pada Ahad lalu.
Menurut Ketua Misi Ship to Gaza Norway, Torstein Dahle, kapten kapal tersebut ditumbuk pada kepala oleh anggota tentera Israel, selain mengarahkannya untuk belayar ke kawasan pantai berhampiran wilayah Israel.
Jelas beliau, al-Awda merupakan kapal bantuan pertama Norway yang dihantar ke Semenanjung Gaza.
“Kami membawa unsur keamanan dalam kapal ini, bagaimana Israel boleh melihatnya sebagai satu ancaman?” katanya.











