Nelayan bimbang kesan tumpahan minyak - Utusan Malaysia

Nelayan bimbang kesan tumpahan minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 1 Ogos – Golongan nelayan di se­panjang pantai Permatang Damar Laut di sini melahirkan rasa bimbang berikutan pencemaran minyak yang di­sebabkan kejadian kapal kargo China yang karam di perairan itu minggu lalu.

Menurut mereka, selepas se­minggu kejadian itu, kesan tum­pahan minyak daripada kapal yang karam tersebut semakin jelas kelihatan sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka.

Menurut seorang nelayan, Azizul Chat, 46, kesan minyak itu juga semakin menghampiri kawasan pantai di sepanjang Permatang Damar Laut terutama ketika air pasang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, kesan tumpahan minyak itu semakin ketara dalam kawasan seluas kira-kira satu kilometer daripada lokasi kapal karam tersebut menyebabkan nelayan ti­dak dapat mencari hasil laut di kawasan berkenaan.

“Apa yang dikesalkan adalah lokasi di mana kapal itu karam merupakan antara lubuk hasil laut di perairan di sini khususnya udang dan ketam selain pelbagai jenis ikan.

“Tetapi disebabkan kesan tumpahan mi­nyak itu, nelayan termasuk pemancing ti­dak dapat menangkap hasil laut di sekitar kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi 26 Julai lalu, kapal Xin Yi Yi dari Hong Kong sepanjang 43.6 meter yang membawa muatan ikan ka­ram selepas melanggar bangkai kapal yang dijadikan tukun di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, kapal itu dalam perjalanan ke Pulau Langkawi, Kedah bersama lima anak kapal warga China dan Hong Kong namun kesemua mereka berjaya diselamatkan nelayan tempatan.

Sementara itu, Azizul menggesa pihak berwajib khusus­nya Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera membersihkan tumpahan minyak tersebut sebelum pencemaran laut di kawasan terbabit menjadi lebih serius.

Dalam masa sama, beliau menggesa pihak berkaitan me­ngalihkan segera bangkai kapal karam berkenaan kerana dibimbangi me­­ngundang risiko kemalangan kepada nelayan khusus­nya pada sebelah malam.

Sementara itu, jurucakap Agensi Penguatkuasaan Mari­tim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri ketika diajukan perkara tersebut menjelaskan, pihaknya sedang bekerjasama rapat de­ngan JAS negeri dalam memantau masalah pencemaran minyak berkenaan.

Ujarnya, Maritim Malaysia tidak dapat memberi laporan terperinci setakat ini berhubung sejauh mana situasi tumpahan minyak berkenaan kerana kajian masih lagi dilakukan.

“Sekarang masih diperingkat kajian, laporan penuh akan menyusul selepas selesai kajian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini