Pada hari kita berteriak
berkumandang serata langit
memecah sepi malam
membingit suasana aman
diulang-ulang kalimah keramat
negaraku merdeka, merdeka, merdeka
negaraku merdeka, merdeka, merdeka
setengah abad kita lalui
kita rasai manisnya berjalan bebas
tiada sekatan
tiada tembakan
tiada desakan
tiada raungan
tiada paksaan
dan kita raih gembira
melata di bumi tercinta
negaraku Malaysia
kita bangkit bersama
mencorak negara bangsa merdeka
kita cerminkan kita bangsa berjaya
mampu berdiri tanpa telunjuk penjajah
kita corak Perlembagaan wasatiah
kita hidup dalam ragam adat dan budaya
kita bahagia dan aman sentosa
kita harus terus melangkah
dalam rimbun cabar
kita tabah tepis mehnah
kita bersama tanpa kira bangsa dan agama
kita duduk bersimpuh
di atas langgar jati itu
di pepah daun sireh
dan kita terus bertingkah dalam damai
mencari sejuta jalan penyelesaian
agar negara kita terus aman dan permai
dalam setiap deruan mehnah
kita bijak mengatur langkah
biar lambat tingkah
biar tampak tak megah
namun langkah kita
langkah pendekar gagah
lentur tatkala menyanggah
lembut tutur dalam teriak
manis kiasan tatkala terserempak
kita corak ummah wasatiah
kita bina negara bangsa
daripada cengkaman penjajah
hingga rencam pembentukan negara
kita kekal sabar dan tabah
membangun dalam harmoni
sejahtera dalam bahagia
kita capai sejarah makmur
jatuh bangun terukir
dan kekal dalam lipatan
sejarah negaraku Malaysia
merdeka yang kita capai
takkan diam dari cubaan dan cabar
umpama samudra tenang
terkadang ombak manja
datang menyapa
dan kita bangsa merdeka
takkan latah dek debar yang datang
takkan alpa dek senang yang tiba
takkan layu dibuai getir dan duka
kerana kita bangsa berjaya
bersatu dalam corak warna
damai dalam khilafiah sengketa
aman mencorak negara merdeka
AL-QASIMIY
Tanjung Malim, Perak










