KUCHING: Selepas lebih 40 tahun mengabdikan diri dalam dunia muzik, perjalanan seni Ratu Rock, Ella Aminuddin, akhirnya diraikan menerusi Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25.
Ella, 60, menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu penghormatan cukup bermakna, terutama apabila karya yang dihasilkan sepanjang perjalanan seninya terus mendapat tempat dalam kalangan peminat.
Penyanyi yang nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin itu berkata, dia tidak pernah membayangkan minat terhadap muzik yang disemai sejak awal kerjaya akhirnya membawanya ke tahap berkenaan.
“Saya terharu dan bersyukur. Sebagai insan yang kecil, apabila menerima anugerah ini, sudah tentu saya berterima kasih kerana karya dan muzik saya diterima di hati peminat.
“Kalau kita minat dengan apa yang kita lakukan, ia adalah satu tanggungjawab yang besar, malah kita akan gembira dan tidak rasa ia membebankan.
“Kalau kita ada minat yang mendalam dalam industri dan kerjaya, kita akan dapat melangkah dengan lebih bersemangat,” katanya pada sidang media selepas AIM25 melabuhkan tirai di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, Sabtu lalu.
Mengimbas perjalanan seninya, Ella berkata, kecintaan terhadap muzik selain sokongan peminat menjadi antara faktor yang membuatkannya terus bertahan dan berkarya sehingga kini.
Menurutnya, industri muzik tempatan kini semakin berkembang dengan kemunculan pelbagai karya baharu serta bakat muda yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.
“Industri muzik semakin maju, bertambah laju dan banyak lagi karya yang bagus. Saya fikir, teruskan sahaja, terbanglah tinggi.
“Siapa yang rasa dia bagus dan berbakat, jadikan perkara ini sesuatu yang serius dan jangan berputus asa. Kalian boleh lakukannya, insya-Allah,” katanya.
Pada masa sama, Ella mengingatkan penyanyi muda supaya tidak terlalu terikat dengan gaya artis yang diminati sehingga mengabaikan identiti sendiri.
Katanya, seseorang anak seni boleh menjadikan artis lain sebagai sumber inspirasi, namun pada akhirnya perlu mempunyai karakter serta keunikan tersendiri.
“Kalau mahu menjadi seseorang, awak perlu menjadi diri sendiri. Tak perlu mencari atau meniru 100 peratus gaya yang awak minati.
“Awak boleh menjadikan mereka sebagai inspirasi, tetapi awak kena cari apa yang ada dalam diri sendiri. Awak perlu lihat betul-betul dan awak boleh cipta apa yang awak suka,” katanya.
Ella memulakan perjalanan seni bersama kumpulan Ella & The Boys sekitar 1985 sebelum mengorak langkah sebagai penyanyi solo pada 1988.
Karier solonya mula menyerlah menerusi album Pengemis Cinta pada 1989, disusuli Puteri Kota dan Identiti pada 1990.
Namanya terus mengukuh dalam arena muzik rock tempatan menerusi album 30110 pada 1992 yang menampilkan lagu popular seperti Sembilu, Layar Impian dan Kitalah Bintang.
Tidak terhenti di situ, Ella mencipta satu lagi sejarah apabila merakamkan album Ella USA di Amerika Syarikat pada 1994.
Beliau kemudian meneruskan perjalanan seni menerusi beberapa album termasuk El (1999), Ilham Bicara (2001), Simbiosis (2003), Rama-Rama (2007) dan Peace.Love.Rindu (2017).
Selain nyanyian, Ella turut mencuba bidang lakonan menerusi beberapa filem seperti Bayangan Maut (1991), Pemburu Bayang (1993) dan Hanya Kawan (1997).
Pada AIM Ke-7 pada 2000, Ella turut meraih kejayaan apabila membawa pulang trofi Rakaman Album Terbaik menerusi El.
Anugerah Sri Wirama yang diterimanya pada AIM25 sekali gus menambah satu lagi pengiktirafan penting dalam perjalanan seni penyanyi yang terus relevan dan mempunyai peminat merentasi generasi itu.
Sebelum ini, Ella turut menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah Bintang Popular ABP) 3.0 pada 2017 sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada industri muzik tanah air.











