KUALA LUMPUR 4 Ogos – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mewujudkan akta khusus bagi menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.
![]() |
|
MOHAMED NAMAZIE IBRAHIM
|
Presidennya, Dr. Mohamed Namazie Ibrahim berkata, langkah itu perlu berikutan semakin banyak kes gangguan seksual di tempat kerja berlaku walapun Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan kod amalan berhubung perkara tersebut.
“Walapun kementerian telah memperkenalkan kod amalan mengenai perkara ini, pendapat umum mendapati ia hanya memberi implikasi kecil kerana kita tidak mempunyai undang-undang tegas untuk menghukum pelaku yang melakukan perbuatan ini.
“MMA sebagai suara pengamal perubatan mahu kementerian berkaitan menyiasat isu gangguan seksual secara serius agar tidak mencemarkan nama baik bidang perubatan dan juga bidang-bidang yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan terdapat cubaan untuk menutup isu gangguan seksual yang berlaku di hospital kerajaan sebaliknya mahu perkara berkenaan ditangani secara baik.
Menterinya, Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan jawatankuasa siasatan bebas yang telah ditubuhkan perlu menyiasat isu tersebut secara terperinci dan berhati-hati tanpa merumitkan keadaan mana-mana pihak. – UTUSAN ONLINE











