MELAKA 14 Ogos – Ibu kepada seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan di sebuah pusat perkembangan kanak-kanak di Cheng di sini memberitahu bahawa anaknya sering mengigau sambil menangis serta menyebut perkataan sakit sejak tiga bulan lalu.
Nur Hasriha Mohamad, 27, berkata, dia mula curiga dengan kelakuan anaknya itu dan mengesyaki ada kaitan dengan pusat tersebut, namun menolak sebarang tanggapan kerana sikap gurunya yang baik.
“Saya mulanya mengesyaki anak didera tetapi tidak percaya cakap anak kerana mungkin bergurau. Bagaimanapun, apabila tiba waktu malam ketika tidur, dia sering menangis sambil cakap ‘sakit’.
“Bukan itu sahaja, apabila hendak dihantar ke pusat itu, dia enggan dan menyebut takut… takut… sehinggakan tidak mahu lagi memakai uniform,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, tular rakaman video dalam laman sosial berhubung tindakan keterlaluan dua guru wanita yang memukul dan mendera beberapa kanak-kanak.
Dua video yang masing-masing berdurasi 36 saat dan dua minit 10 saat itu memaparkan kedua-dua guru terbabit memukul, menampar serta menggunakan kekerasan terhadap kanak-kanak di pusat itu.
Nur Hasriha yang akan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut memberitahu, terdapat juga ibu bapa sedang menunggu laporan kesihatan sebelum mengambil tindakan sama sebagai bahan bukti.
Seorang lagi ibu kepada kanak-kanak yang terlibat, Nordiana Borhan melalui status akaun Facebook miliknya bersyukur kerana penularan video berkenaan menunjukkan sesuatu yang berlaku di pusat itu.
“Saya paksa anak pergi sekolah, namun dia beri banyak alasan. Malah dia pernah menangis dan merayu kerana saya tinggalkan dia dekat sekolah.
“Berderau darah apabila terbaca laporan polis mengenai penderaan berlaku di pusat itu. Hati saya jadi luluh dan sedih memandangkan layanan baik selama ini terhadap guru-guru tersebut rupanya syaitan bertopengkan manusia,” katanya.











