LONDON – Meghan Markle yang kini memegang gelaran Duchess of Sussex selepas berkahwin dengan Putera Harry pada 19 Mei lalu berkongsi tarikh hari lahir pada 4 Ogos dengan mendiang ibu kepada Ratu Elizabeth II iaitu Elizabeth Bowes-Lyon.
Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-37 semalam, Markle tidak menyambutnya dengan meriah sebaliknya menemani Putera Harry menghadiri majlis perkahwinan kawan baiknya, Charlie van Straubenzee di Churt, Surrey, Britain.
Bagaimanapun, portal berita MailOnline berkongsi 37 perkara mengenai Meghan yang ramai tidak tahu antaranya kelaziman aktres drama siri Suits itu untuk memakan kentang goreng dan segelas wain pada hari jadinya setiap tahun kerana sewaktu kanak-kanak, beliau kerap menghabiskan masa di kantin studio televisyen Los Angeles bagi menemani bapanya, Thomas yang bekerja sebagai pengarah penataan cahaya.
Meghan juga pernah belajar di tadika Little Red School House, New York, AS bersama aktres terkenal, Scarlett Johansson dari usia dua hingga 11 tahun.
Selain itu, Duchess of Sussex itu juga fasih bertutur bahasa Sepanyol selepas menjalani latihan industri di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Buenos Aires, Argentina pada tahun 2002 dan mempelajari bahasa tersebut di Madrid, Sepanyol pada tahun yang sama.
Mempunyai tabiat suka menggigit kuku sehingga tahun lepas, Meghan juga seorang yang mengamalkan diet ketat dan hanya makan sayur-sayuran setiap hari kecuali hujung minggu. – Agensi










