Masjid benteng sikap radikal, keganasan - Utusan Malaysia

Masjid benteng sikap radikal, keganasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“HARI ini, kita sering mendengar masyarakat dunia menyatakan sekiranya ada masalah keganasan dalam sesebuah negara, perkara itu ada hubung kait dengan orang Islam. Maka timbul persoalan, bilakah kita akan menyingkirkan mereka (orang Islam) ini?

“Maka terdapat sekumpulan masyarakat yang mahu mengadakan sekatan terhadap orang Islam dan menutup masjid-masjid yang terdapat di negara mereka. Persoalannya, bagaimanakah sikap sebenar orang Islam?,” soal penceramah wanita yang sangat bermotivasi dari Amerika Syarikat (AS), Dalia Mogahed.

Penceramah kelahiran Mesir itu menegaskan, umat Islam umpama sebuah organ penting dalam apa jua jenis kedudukan masyarakat dunia terutama dalam memberi sumbangan sewajarnya kepada pembangunan sosio ekonomi.

Jelasnya, sumbangan umat Islam sangat besar kepada masyarakat dunia dan perkara tersebut tidak boleh dinafikan atau dipandang sebelah mata oleh sesiapa sahaja.

Tindakan mengaitkan orang Islam dengan segala bentuk keganasan yang berlaku adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak beretika.

Tambahnya, tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menyeru agar pihak kerajaan AS menutup masjid di negara itu adalah suatu tindakan yang tidak wajar.

“Adakah dengan bertindak menutup semua masjid akan menjadikan AS lebih selamat? Tindakan itu mungkin akan membuatkan ruang meletak kenderaan menjadi lebih luas tetapi tidak menamatkan keganasan,” katanya ketika menyampaikan ceramah anjuran TED Talks yang dimuat naik dalam laman sosial.

Dalia yang menyampaikan pandangannya mengenai persepsi dunia terhadap Islam di hadapan hadirin bukan Islam dalam ceramah tersebut berkata, orang yang sering ke masjid kebiasaannya ialah mereka yang mempunyai sikap toleransi lebih tinggi terhadap penganut agama lain.

Malah katanya, orang yang selalu berulang alik ke masjid juga adalah mereka yang mempunyai penglibatan sivik yang lebih besar berbanding manusia lain.

Selain itu jelasnya, seorang ketua polis di Washington DC baru-baru ini memberitahunya bahawa orang ramai tidak akan mudah terpengaruh dengan fahaman radikal apabila berada di masjid, sebaliknya seseorang itu akan lebih mudah menjadi radikal apabila berada di laman rumah atau bilik tidur, malah di hadapan komputer.

Tambahnya, apa yang sering orang ramai maklum bahawa proses radikal kebiasaannya bermula secara dalam talian dan mereka yang terasing daripada komuniti masing-masing termasuk daripada keluarga.

Peluang seumpama itu akan digunakan oleh pihak kumpulan pelampau untuk ‘brainwash’ atau mencuci pemikiran kumpulan yang menjadi sasaran pengganas.

Kesempatan tersebut dimanfaatkan oleh kumpulan pengganas dengan menyatakan bahawa mereka adalah pejuang Islam sejati, manakala orang lain yang menentang tingkah laku dan ideologi yang mereka amalkan adalah golongan yang menyimpang atau murtad.

“Untuk itu, jika mahu membendung budaya radikal daripada terus berkembang, kita seharus-nya memastikan orang ramai terus ke masjid,” katanya.

Menguatkan hujah, Dalia menegaskan, dia pernah mendengar kisah seorang gadis yang gagal meluahkan rasa tidak puas hati meskipun telah bertemu sekumpulan alim.

Ekoran gagal mendapat saluran yang diperlukan bagi menghilangkan kemarahan melampau dalam dirinya, gadis itu terjebak dengan kumpulan pengganas Daesh.

Bukan kerana dia dihubungi oleh kumpulan pengganas terbabit, sebaliknya dia sendiri yang mencari jalan penyelesaian salah, sekali gus membuka peluang kepada kumpulan militan mengambil kesempatan dan mengeksploitasi dengan menjanjikan jalan penyelesaian baginya.

Namun gadis itu bernasib baik apabila ada seorang imam mampu membimbingnya dan menghalangnya daripada menyertai Daesh dengan membawanya kembali ke jalan benar dan mengembalikan gadis itu ke pangkuan komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN