KUALA LUMPUR 4 Ogos – Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, kehilangan dua prospek emas Malaysia susulan pengunduran bintang terjun, Cheong Jun Hong dan jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei bukan alasan untuk menekan ‘butang panik’.
Beliau percaya, ‘kehilangan’ itu akan ditampung atlet lain yang menunjukkan prestasi konsisten dan potensi meraih emas di Jakarta-Palembang itu.
“Saya tidak fikir ketiadaan dua atau tiga orang atlet akan menyebabkan kontinjen ke Sukan Asia tempang.
“Kecederaan atlet perkara biasa, saya melihatnya dari sudut positif, lebih baik perkara itu berlaku sekarang supaya kita dapat memilih pengganti.
“Jika mereka cedera di sana, lebih menyukarkan pasukan,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Tujuh Sebelah RSC Ke-18 di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara hari ini.
Selepas Chong Wei menarik diri kerana masalah kesihatan, Jun Hoong yang juga juara 10 meter platform wanita dunia pula mengalami kecederaan lutut kiri dan perlu berehat sembilan bulan.
Malaysia juga berdepan kemungkinan kehilangan pemain badminton beregu campuran, Goh Liu Ying selepas pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu cedera ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Nanjing, China semalam. – BERNAMA










