Malaysia raih gangsa bola sepak - Utusan Malaysia

Malaysia raih gangsa bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMASYA 1974 di Tehran mencatat sejarah apabila teknologi sukan digunakan secara meluas, namun bagi rakyat Malaysia edisi ketujuh temasya lebih dikenang dengan kejayaan skuad bola sepak pulang bersama pingat gangsa.

Membariskan ramai bintang seperti Datuk Mokhtar Dahari, Datuk R. Arumugam, Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Shukor Salleh, Malaysia menumpaskan Korea Utara 2-1 dalam penentuan gangsa, berterima kasih kepada dua gol Isa Bakar.

Ini adalah gangsa kedua Malaysia dalam Sukan Asia selepas melakukannya buat kali pertama di Temasya Jakarta, 1962.

Dalam peringkat awal kumpulan, pasukan negara muncul naib juara selepas dibelasah 8-1 oleh Israel, seri 1-1 dengan Jepun dan membenam Filipina 11-0.

Malaysia meraih tiket untuk penentuan gangsa selepas muncul naib juara Kumpulan A bagi pusingan kedua di belakang Iran.

Selepas tewas 0-1 dalam aksi pertama kepada Iran, Malaysia mengikat Iraq 0-0 sebelum menumpaskan Korea Selatan 3-2.

Temasya Tehran juga menyaksikan buat pertama kali teknologi sukan digunapakai, sekali gus membolehkan atlet selesa bertanding dan memudahkan pegawai pertandingan meraih keputusan lebih tepat.

Berlangsung dari 1 hingga 16 September, sebanyak 3,010 atlet daripada 25 negara mengambil bahagian dalam temasya yang julung kalinya menyaksikan negara dari Timur Tengah menjadi tuan rumah Sukan Asia.

Sejumlah 200 acara daripada 16 jenis sukan dipertandingkan di Teh­ran, sekali gus menjadi paling banyak acara dipertaruhkan sejak 1951.

Penggunaan teknologi baharu banyak digunakan dalam beberapa sukan, terutama olahraga apabila penggunaan trek sintetik mula diperkenalkan, sekali gus mampu menjadikan pelari menjadi lebih pantas berbanding trek rumput atau tanah.

Masalah berkaitan keputusan dalam acara pecut olahraga juga dapat diselesaikan apabila khidmat kamera bagi melihat foto penamat turut digunakan di garisan penamat bagi memudahkan pegawai pertandingan mengesahkan pemenang bagi semua acara 100 meter (m), 200m, 400m dan 4x100m.

Tuan rumah juga menjadikan temasya tersebut gah apabila membina stadium baharu iaitu Kompleks Sukan Aryamehr yang mampu memuatkan 100,000 penonton dan ia siap dibina pada 1 April 1971.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN