Mahu pacu Khazanah di landasan betul – PM - Utusan Malaysia

Mahu pacu Khazanah di landasan betul – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa pelantikannya se­ba­gai Pengerusi Khazanah Nasional Bhd. (Kha­zanah) me­rupakan antara langkah untuk ‘mengubah’ syarikat milik kerajaan (GLC) itu bagi menumpukan kepada isu-isu tertentu.

Perdana Menteri berkata, banyak perkara yang diketahuinya dan sebelum ini, beliau juga pernah terlibat dalam pengurusan syarikat itu.

“Malah, saya yang memulakan Khazanah dan kini mahu memacu di landasan yang betul. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa salahnya dengan lantikan saya, bukannya saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, saya tidak akan menerima bayaran RM7 juta,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di bangunan Parlimen hari ini.

Baru-baru ini, pelantikan lima Ahli Lembaga Pengarah Khaza­nah baharu termasuk Dr. Mahathir sebagai pengerusi dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pengarah mendapat kritikan ramai sehingga ada yang menyifatkannya sebagai bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Manifesto berkenaan ada menyebut bahawa Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dalam kalangan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Sementara itu, Dr. Mahathir menyifatkan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin sebagai lumrah dalam kehidupan manusia.

“Manusia sampai ajal kena pergilah, kita sebagai wakil rak­yat ada proses untuk mengganti, kita akan ada pilihan raya,” katanya.

Pada sebelah tengah hari, Perdana Menteri menerima kunju­ngan hormat Menteri Luar Australia, Julie Bishop yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia bermula Selasa lalu, di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Dalam pertemuan selama sejam itu, Dr. Mahathir dan Bishop yang diiringi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski, bertukar-tukar pandangan mengenai cara me­ningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Australia, selain isu-isu serantau dan global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×