SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berjanji akan memastikan ukhuwah dan kerjasama UMNO dan Pas akan berterusan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, esok.
Beliau memberitahu, perkara tersebut penting dalam jangka panjang untuk penyatuan orang Islam dan Melayu.
“Tidak kira apa jua keputusan hari esok, saya dan rakan-rakan dari UMNO dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan membantu calon Pas di PRK DUN Seri Setia nanti.
“Ini berikutan untuk menang kerajaan Persekutuan perlu bersatu (UMNO dan Pas). Satu kajian yang dilakukan mendapati sekiranya undi UMNO dan Pas disatukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kita akan memenangi 120 kerusi,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, Lokman mendakwa menerima sokongan 280 ahli Gerakan yang berada DUN Sungai Kandis.
“Walaupun secara dasarnya Gerakan tidak lagi bersama BN namun saya yakin ikatan persahabatan dengan gerakan akan membantu kita.
“Jumlah 280 undi itu tidak boleh dipandang sebelah mata,” katanya. – K! ONLINE










