Kompaun: SSM tawar diskaun sehingga 80 peratus - Utusan Malaysia

Kompaun: SSM tawar diskaun sehingga 80 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menawarkan diskaun sehingga 80 peratus kepada syarikat yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016.

Pemberian insentif itu bersempena kempen Patuh Akta Syarikat 2016, Ambil Berat, Sa­yangi Syarikat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, insentif bertemakan ‘Mulakan Pematuhan Akta Baharu dengan Sifar Kompaun’ itu berkuat kuasa pada 1 September hingga 31 Disember 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kempen ini bertujuan memberi pemahaman, kesedaran dan peringatan kepada orang awam tentang keperluan dan peruntukan asas yang perlu dipatuhi secara berkala di bawah Akta Syarikat 2016.

“Insentif yang ditawarkan ini juga akan menjadi pemudah cara bagi orang awam untuk menyelesaikan kompaun yang masih belum dijelaskan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2018 (SSMNC2018) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dekat sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Wahab Fenner.

SSMNC2018 bertemakan Doing Business In The Age Of Disruption yang dianjurkan selama dua hari bermula hari ini dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada setiausaha syarikat, sektor korporat, pengamal undang-undang, golongan usahawan dan pihak-pihak berkepentingan dalam sektor korporat di Malaysia.

Tambah Saifuddin, pemberian insentif kompaun itu akan dijalankan secara berperingkat de­ngan tawaran diskaun sebanyak 80 pe­ratus sepanjang September, di­ikuti diskaun 70 peratus (Oktober), diskaun 60 peratus (November) dan diskaun 50 peratus (Di­sember).

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan dua pendekatan baharu yang diambil bagi memperkasakan peranan SSM sebagai pengawal selia sektor korporat di negara ini.

“SSM telah memperkenalkan Corporate Rescue Mechanism (CRM), iaitu kerangka undang-undang baharu di Malaysia untuk memulihkan kedudukan syarikat yang menghadapi kekangan kewangan agar kembali beroperasi seperti sediakala menerusi proses penstrukturan syarikat.

“Selain CRM, SSM juga akan membincangkan sebuah kertas konsultasi bertujuan untuk memperkenalkan satu rang undang-undang yang baharu. Rang undang-undang ini merangkumi pendaftaran transaksi bersekuriti atau bercagar (personal property securities registration) di Malaysia.

“Inisiatif kedua pula adalah dengan memperkenalkan Extensible Business Reporting Language (XBLR) atau lebih dikenali sebagai Malaysian Business Reporting System (MBRS).

“MBRS adalah satu platform serah simpan yang membolehkan syarikat menyerah simpan pelaporan tahunan kepada SSM secara dalam talian dan akan dilancarkan sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini untuk semua syarikat tempatan dan asing,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN