PASIR PUTEH 4 Ogos – Kilang memproses kenaf berskala besar bernilai RM25 juta di Setiu, Terengganu telah siap dibina dan dijadual beroperasi secara rasmi mulai Disember tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, kilang berkenaan berupaya menghasilkan 2,000 tan fiber kenaf sebulan akan membantu membuka lebih banyak ruang pekerjaan dan pendapatan kepada petani.
Menurutnya, setakat ini terdapat 1,500 penanaman kenaf seluruh negara dan dengan adanya kilang berkenaan jumlah penanam boleh ditingkatkan sehingga 3,000 orang mulai tahun hadapan.
“Kita juga akan meneruskan skim galakan penanaman kenaf kepada pengusaha baharu dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM2,300 dalam bentuk input pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di kilang pemprosesan kenaf di Kampung Air Tawar, dekat sini, hari ini.
Shamsul Iskandar berkata, setakat ini hanya dua pusat pemprosesan batang kenaf bagi pengeluaran fiber iaitu di Pasir Puteh dan di Rompin, Pahang dengan kapasiti 12,000 tab batang kenaf setahun dan membabitkan hasil tanaman seluas 600 hektar.
Menurutnya, hasil pengeluaran bagi setiap pusat mencecah RM2 juta setahun. – UTUSAN ONLINE










