SUNGAI Padas menjadi tumpuan peminat aktiviti berakit arus deras (white water rafting) dari dalam dan luar negara. Berikutan itu, aspek keselamatan menjadi perhatian utama pengendali aktiviti tersebut. Herman Usman (Billy), 32, berkata, aspek keselamatan menjadi keutamaan kerana terdapat sembilan jeram yang perlu ditempuh peserta.
Menurutnya, cabaran itu memerlukan semangat berpasukan yang tinggi serta tenaga yang mencukupi untuk mengawal rakit dari awal sehingga ke hujung laluan berakit.
“Bertugas sebagai jurupandu sungai (river guide) tidak mudah kerana tanggungjawab besar yang digalas terutama melibatkan keselamatan peserta.
“Bagi memastikan kami sentiasa bersedia dalam situasi kecemasan, syarikat pengendali, Riverbug Asia kerap mengadakan kursus menyelamat dan keselamatan, first aids dan kecergasan,”katanya kepada S2.
Beliau turut berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas di Sungai Padas, Sabah.
“Dua perkara yang meninggalkan kesan kepada saya adalah mengalami kecederaan teruk pada hidung serta kehilangan sebatang gigi hadapan akibat terhentak pada hujung pendayung.
“Sebab itulah, saya dan rakan-rakan sentiasa menekankan aspek keselamatan yang tinggi. Bagi diri sendiri pula, saya sentiasa menjadikan kecederaan sebagai teladan kepada peserta lain agar lebih berhati-hati mengikuti aktiviti ini,” ujarnya.
Bapa kepada dua anak itu turut berkongsi tip bagaimana menjadi seorang jurupandu sungai yang mahir dan cekap.
“Pastikan anda seorang yang berada dalam keadaan bersedia, berfikiran terbuka, cergas dan sentiasa ada perasaan ingin belajar, meningkatkan kemahiran serta ilmu baharu,” katanya.
Anak jati Kampung Pasir Putih, Tawau itu juga berkata, antara penghargaan paling bermakna buat dirinya adalah apabila ada peserta luar negara memberi kredit kepadanya dalam salah sebuah laman web pelancongan terkenal.
“Peserta tersebut memberikan komen positif terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat, tempat saya bertugas. Malah, dia turut menyebut nama saya dalam komen berkenaan,”katanya.
Ditanya bagaimana dia ‘jatuh cinta’ dengan aktiviti itu, Billy berkata, dia mula menceburi bidang itu sebagai jurufoto yang merakam aksi-aksi mencabar peserta berakit arus deras.
“Merakam detik-detik cemas peserta memberikan kepuasan kepada saya. Melalui gambar, kita dapat melihat mimik muka peserta yang sedang bertarung dengan arus deras. Imej itu memberikan memori indah kepada peserta.
“Lama kelamaan, timbul minat untuk mencuba sendiri aktiviti tersebut dan akhirnya selepas tiga tahun, saya dibenarkan oleh majikan untuk menukar kerjaya sebagai jurupandu sungai,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Jack Stephen, 27, berkata, selain keselamatan, dia turut menitik beratkan aspek layanan hospitaliti semasa menjalankan tugas.
“Penekanan turut diberikan kepada faktor layanan mesra peserta. Sebagai jurupandu sungai, kami turut menjadi duta kecil mewakili negeri Sabah dan negara Malaysia ,”katanya.
Ditanya perbezaan gaya hidup sebelum dan selepas berkecimpung dalam bidang ini, katanya, antara perubahan utama adalah penguasaan Bahasa Inggeris yang lebih baik kerana kerap berinteraksi dengan pelancong luar negara.
“Selain itu, saya juga mempelajari asas bahasa Jepun, Mandarin dan Korea. Ia memudahkan saya berinteraksi dengan pelancong dari negara terbabit,”katanya.
Finalis Pemandu Pelancong Terbaik Negeri Sabah 2017 itu berkata, Sungai Padas menawarkan cabaran tahap tiga hingga tahap lima. Peserta akan menempuh sembilan jeram yang diberi nama seperti Mickey Mouse Rapid, Head Hunter, Scooby Doo, Cobra, Lambada, Washing Machine, Merry Go Around,Snake House dan BBQ.










