ALOR SETAR 9 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah berhasrat untuk mengadakan pertemuan bersama kerajaan negeri dan agensi di bawahnya bagi mencari penyelesaian terhadap peningkatan jumlah kes melibatkan kenderaan berat di negeri ini.
Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, antara kes yang melibatkan kesalahan tertinggi adalah membawa muatan secara berbahaya dan melebihi had ditetapkan.
“Antara perkara yang boleh dibincangkan adalah soal mengenai bidang kuasa masing-masing. Di pihak JPJ, kami hanya boleh mengambil tindakan setelah kenderaan terbabit berada di jalan raya sedangkan perkara sedemikian sepatutnya sudah boleh diatasi di peringkat awal iaitu ketika kenderaan terbabit masih berada di tapak kuari lagi.
“Di bawah permit kelulusan kuari oleh kerajaan negeri, ada syarat dan perlu dipatuhi kenderaan berat ini. Sekiranya wujud jalinan kerjasama lebih erat antara kami dan pihak yang mengelolakan permit ini, saya percaya pemantauan untuk semua pihak menguatkuasakan undang-undang secara bersama menjadi lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ negeri di Jalan Suka Menanti di sini hari ini.
Sejak Januari hingga Julai lalu, sebanyak 6,459 saman dikeluarkan JPJ negeri terhadap kenderaan berat di negeri ini berbanding cuma 5,107 untuk tempoh yang sama, tahun lalu.
Kebanyakan saman itu dikeluarkan menerusi lima siri Ops Tutup yang dijalankan di beberapa kawasan tumpuan di negeri ini antaranya Pendang, Bukit Perak dan Tunjang.










