ALOR SETAR 5 Ogos – Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) hari ini ditempelak kerana didakwa mengamalkan pentadbiran ala syarikat yang hanya mengutamakan untung rugi berbanding memberi perhatian terhadap kebajikan masyarakat secara menyeluruh terutamanya berhubung isu pengurangan jumlah penerima insentif air percuma seperti diperkenalkan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
![]() |
|
SYED MOHD. JOHAN
|
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, beberapa alasan untuk menutup kelemahan kerajaan ditadbir pakatan itu sebelum ini termasuk kononnya pemberian tersebut mendatangkan bebanan kepada kerajaan negeri, hanyalah justifikasi yang diada-adakan bagi membolehkan kepemimpinan negeri lari daripada tanggungjawab memenuhi keperluan rakyat.
“Sejak dimulakan kerajaan negeri pimpinan BN pada Januari tahun ini, insentif tersebut memberi manfaat kepada hampir 220,000 akun pengguna yang bertujuan mengurangkan bebanan kos sara hidup, menggalakkan penjimatan air dan meningkatkan simpanan air di Loji Rawatan Air Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang sebelum ini berada pada kadar kosong peratus.
“Malangnya apabila Pakatan Harapan mengambil alih kepemimpinan kerajaan negeri, antara kenyataan awal dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah mengkaji semula insentif tersebut. Akhirnya keputusan drastik diambil dengan hanya 15,000 pengguna menerima manfaat iaitu pengurangan sebanyak 93 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, tindakan itu membangkitkan beberapa isu sehingga menampakkan seolah-olah Pakatan Harapan mempunyai dasar untuk sentiasa membuat kajian berhubung perkara yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat sebelum mengurangkan faedah diberikan iaitu perkara sama dilakukan terhadap penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dahulunya berjumlah tujuh juta orang, namun kini berkurangan kepada empat juta orang setelah namanya ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH).
“Mengapa pada zaman BN skim ini boleh dilaksanakan tanpa perlu memberi pelbagai alasan? Dakwaan kononnya kaedah asal menguntungkan golongan kaya juga tidak dapat diterima akal kerana jumlahnya terlalu sedikit sebaliknya penerima manfaat teramai terdiri daripada petani, nelayan, penoreh getah, pekerja berpendapatan rendah dan orang kampung.
“Timbul juga persoalan sama ada data 15,000 keluarga miskin yang menerima manfaat daripada skim tersebut iaitu mereka yang berdaftar dengan sistem e-kasih, mencerminkan realiti sebenar kehidupan golongan kurang berkemampuan di negeri ini. Bagaimana pula dengan mereka yang tercicir daripada mendaftar dengan sistem berkenaan?” soalnya.
Beliau menambah, ekoran tindakan meragukan kerajaan negeri, tidak mustahil selepas ini tarif air di Kedah akan dinaikkan dengan alasan bagi menampung skim pemberian air percuma berkenaan.
“Apa yang sedang dihadapi pengguna air di Selangor tidak mustahil ‘merebak’ ke negeri ini pula kerana Pakatan Harapan seperti diketahui umum sememangnya bijak memberi alasan sebelum mengambil kesempatan terhadap rata-rata pengundi dan masyarakat umum yang mana mereka sendiri menggelarkannya sebagai kurang berpelajaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE











