KLANG 2 Ogos -Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai kerajaan berpenyakit selepas tidak menunaikan manifesto walaupun tempoh 100 hari hampir di penghujung.
Malah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan pada hari ini lebih cenderung menyalahkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat dasar yang memberi kebaikan kepada rakyat.
Selain itu katanya, kerajaan PHP lebih ‘berminat’ untuk mangisi wang Tabung Harapan Malaysia berbanding menunaikan janji mereka sebelum ini.
“Kerajaan yang ada sekarang berpenyakit. Apabila bangun sahaja nak salahkan kerajaan dulu. Bangun saja nak isi duit.
“Walhal kita nak suruh buat benda yang dijanjikan oleh mereka, bukan apa yang rakyat minta. Soalnya sekarang kerajaan nak bawa kita ke mana,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Rakyat ‘Janji Manismu’ di Taman Sri Andalas di sini ini.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Dalam perkembangan lain, Annuar mendakwa, ekuiti bumiputera tidak mengalami peningkatan semenjak pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu hanya 18.7 peratus sehingga tahun 2003.
“Saya agak terkejut apabila meneliti semula laporan terbabit. Ia berbeza ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan,” ujarnya.
Sementara itu, Annuar berkata, Selangor di bawah pimpinan BN perlu dijadikan contoh dalam pelbagai aspek sebagai penanda aras parti itu.
“Selangor buah tangan pemerintahan BN yang selama ini disokong oleh rakyat, berjaya menjadi negeri perpaduan kaum
serta cermin kehebatan kemajuan bandar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











