SHAH ALAM – Pas menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) memberikan laluan kepada parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mampu memperkasakan suara blok pembangkang di Selangor.
Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman tersebut yang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.
“Keputusan UMNO untuk memberi laluan kepada Pas dalam PRK DUN Seri Setia sangat dialu-alukan. Pas telah mengambil langkah yang sama dalam PRK di DUN Sungai Kandis apabila tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada BN.
“Justeru, kita melihat pengumuman itu merupakan usaha positif sekali gus mampu memperkasakan kerjasama blok pembangkang bagi menghadapi Pakatan Harapan,” katanya kepada Kosmo! Online menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.
Roslan bagaimanapun menegaskan sebarang keputusan mengenai PRK di DUN itu hanya akan dimuktamadkan oleh kepimpinan Pas peringkat pusat dalam tempoh terdekat ini.
Terdahulu Mohamad pada sidang akhbar di sini memaklumkan BN akan memberi laluan kepada Pas untuk bertanding dalam PRK di DUN Seri Setia.
Menurutnya, keputusan itu merupakan tanda penghormatan serta menghargai pengorbanan Pas yang sebelum ini telah memberikan laluan kepada BN bertanding dalam PRK DUN Sungai Kandis.
Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandang kerusi itu, Prof. Dr. Shaharudin Badaruddin, 56, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya, kira-kira pukul 6.28 petang semalam.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Shaharuddin berjaya memperoleh majoriti undi sebanyak 19,372 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Pas dan calon bebas. – K! ONLINE










