KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kementerian Pembangunan Usahawan mahu industri rel dan kereta api diketengahkan berikutan terdapat ramai anak tempatan yang pakar dalam bidang tersebut.
Menterinya, Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, kepakaran anak tempatan perlu dimanfaatkan sekali gus membantu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ketika ini, industri rel dan kereta api masih belum diteroka sepenuhnya sedangkan kita mempunyai kepakaran tempatan yang ramai.
“Kita boleh menggunakan kepakaran ini untuk membantu membina infrastruktur landasan kereta api dalam negara,” katanya dalam sidang akhbar semasa melawat pejabat Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, Datuk Baharom Embi. – UTUSAN ONLINE










