Astronomi merupakan salah satu cabang dalam bidang sains tertua di dunia dengan rekod pemerhatian dan pengukuran objek-objek di langit oleh hampir kesemua tamadun purba dunia termasuklah Mesopotamia, China, Babylon serta Yunani.
Pengkhususan bidang ini dikatakan bermula daripada bidang astrologi yang memperihalkan keinginan manusia untuk memahami kewujudannya berdasarkan kedudukan matahari, planet dan bintang.
Bermula daripada pemetaan kedudukan bintang dan buruj, bidang astronomi kini berkembang pesat dengan bantuan pemprosesan komputer yang membolehkan para penyelidik astronomi memahami segala fenomena alam semesta.
Ilmu falak pula merupakan terma khusus yang digunakan dalam bidang astronomi Islam yang mengkaji pergerakan dan kedudukan bumi serta objek-objek di langit.
Ia termasuklah bulan, matahari, bintang dan planet lain bagi keperluan penentuan peristiwa-peristiwa penting di bumi serta penentuan kalendar Islam dan waktu solat.
Berdasarkan pemahaman mengenai kepentingan bidang ini kepada masyarakat, sekumpulan mahasiswa tahun pertama jurusan Astronomi Islam, Jabatan Fiqh Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) telah mengadakan program jalinan masyarakat yang berteraskan bidang astronomi.
Program Kembara Falak 1.0 itu dijayakan bersama pelajar-pelajar aliran sains tingkatan empat di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurut Pengarah Program Kembara Falak 1.0, Muhammad Adib Hakimi Muhd. Tzauazmi, program itu bertujuan untuk memberi pendedahan asas mengenai bidang astronomi Islam kepada para pelajar sekolah dan kepentingannya dalam kehidupan seharian.
Selain itu, ia berperanan sebagai salah satu cabang bidang sains yang menarik untuk diterokai pada masa hadapan.
Aktiviti
“Program ini dilaksanakan dalam bentuk latihan berkumpulan yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berasaskan bidang astronomi untuk kesemua 83 orang pelajar sekolah yang terlibat.
“Antara aktiviti yang diadakan termasuklah penentuan dan pengiraan arah kiblat, explorace astronomi, pembinaan roket air, cerapan malam dan forum motivasi bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” kata pelajar tahun pertama Akademi Pengajian Islam, UM itu.
Tambahnya, semasa aktiviti explorace, para pelajar diminta untuk menyelesaikan pelbagai tugasan berasaskan astronomi di stesen-stesen yang disediakan.
Menariknya, pelajar-pelajar SMAP Labu yang terlibat diberi peluang mengendali peralatan teleskop buat pertama kali semasa aktiviti cerapan malam diadakan.
Selain melihat bentuk permukaan bulan dengan lebih jelas, mereka juga berpeluang melihat beberapa buruj dan planet yang dikenal pasti hasil bantuan penerangan daripada mahasiswa UM.
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh Usul, Akademi Pengajian Islam UM dan penasihat program, Dr. Raihanah Abdul Wahab berkata, program itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan apa yang dipelajari di dalam bilik kuliah.
Selain itu, ia juga secara tidak langsung mendekatkan mahasiswa bersama masyarakat serta membekalkan mereka dengan nilai tambah yang amat diperlukan dalam diri seseorang graduan masa kini.
“Saya kagum dengan semangat para mahasiswa yang berkongsi pengetahuan dengan pelajar-pelajar sekolah SMAP Labu.
“Semoga perkongsian yang sedikit ini dapat menambah motivasi mereka dalam meneroka bidang sains melalui perspektif Islam,” tuturnya.










