Kelestarian Pulau Tioman - Utusan Malaysia

Kelestarian Pulau Tioman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

(Yang mengikuti program lawatan media Cintai Tioman anjuran Yayasan Sime Darby)


MEMBERI ikan makan ketika menyelam di laut sememangnya menyeronokkan, apatah lagi ketika melihat pelbagai spesies berkerumun membentuk gerombolan.

Walaupun perbuatan itu dilihat murni kerana niat memberi makan namun, tahukah anda tindakan itu sebenarnya memberi impak yang besar kepada hidupan laut?

Ikan-ikan yang dibiasakan dengan makanan diproses seperti roti membuat­kan mereka ‘lupa’ kepada sumber makanan semula jadi, selain terancam akibat keluar dari habitat yang menjadi tempat mereka membesar dan berlindung.

Spesies ikan itu bukan sahaja berkurangan disebabkan dimakan pemangsa ketika berkerumun menikmati makanan yang dihulurkan manusia, bahkan boleh mati perlahan-lahan akibat diberi sumber makanan yang sukar dicerna.

Kecenderungan itu juga menyebabkan sumber makanan semula jadi seperti alga tumbuh dengan banyak kerana tidak lagi menjadi pilihan ikan herbivor, sekali gus mengakibatkan kematian terumbu karang.

Itu antara salah satu contoh kesan tindakan manusia yang boleh memusnahkan ekosistem laut. Untuk menghentikan perbuatan yang memudaratkan hidupan laut bukan mudah, malah memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak.

Rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar tidak akan hadir tanpa pengetahuan dan kesedaran.

Menyedari hakikat itu, Yayasan Sime Darby (YSD) dengan kerjasama Reef Check Malaysia (RCM) melaksanakan projek Cintai Tioman dalam usaha mendidik dan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga ekosistem.

Menurut Ahli Majlis Pentadbir YSD, Caroline Christine Russel, inisiatif yang dilaksanakan merupakan salah satu usaha pihaknya bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

“Penubuhan YSM berteraskan kepada lima program iaitu pendidikan, seni, sukan, persekitaran dan pembangunan komuniti. Projek Cintai Tioman adalah salah satu contoh kerjasama YSM bersama RCM sejak empat tahun lalu yang bertujuan melindungi dan memulihara ekosistem di pulau tersebut.

“Sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi merealisasikan matlamat program demi memastikan Pulau Tioman menjadi sebuah pulau yang mapan,” katanya kepada S2.

Sementara itu, Pengurus Besar RCM, Julian Hyde, berkata, pelaksanaan program ini penting bagi menjamin kemapanan ekosistem dalam jangka panjang dan memastikan daya tahan terumbu karang di Pulau Tioman.

“Teras program meliputi pelaksanaan aktiviti yang memberi kesan positif terhadap alam sekitar, meningkatkan amalan pengurusan yang lebih baik, menjalankan penyelidikan dan kerjasama pihak berkepentingan.

“Bagi mencapai matlamat ini, RCM telah melakukan pelbagai inisiatif meliputi program tanggungjawab pelancongan, pengurusan sisa pepejal, kitar semula, pendidikan dan program latihan kepada penduduk tempatan.

“Program ini turut melibatkan kerjasama pengendali resort dalam usaha menjadikan perniagaan mereka lebih mesra alam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN